YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA |   KAMI PRIHATIN
KENYATAAN MEDIA
Yayasan Ihtimam Malaysia mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan dan Justice For Sisters (JSF) yang mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam melaksanakan satu operasi pencegahan kegiatan tidak bermoral yang bertentangan dengan agama oleh komuniti LGBTQ+.
Antara dakwaan yang ditimbulkan adalah sedikit keterlibatan ahli politik di dalam isu ini oleh kerana takut kepada tindak balas agama terhadap mereka. Yayasan Ihtimam Malaysia ingin mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri. Oleh yang demikian, JAIPk telah melaksanakan operasi ini berdasarkan bidangkuasa dan enakmen yang telah ditetapkan. Justeru, Ambiga, JSF dan seluruh rakyat Malaysia perlulah menghormati bidang kuasa ini agar keharmonian negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan terpelihara dengan baik.
Antara dakwaan lain juga adalah terdapat unsur-unsur tindakan membuli, menindas dan melanggar hak oleh pihak berkuasa terhadap komuniti LGBTQ+ dalam usaha membendung gejala ini. Yayasan Ihtimam Malaysia memperakui bahawa rakyat Malaysia haruslah meraikan kepelbagaian yang wujud di negara ini samaada daripada sudut agama, bangsa dan budaya. Namun harus difahami bahawa kepelbagaian ini terbatas apabila ianya melanggar senstiviti, kesucian dan adat resam agama Islam terutamanya apabila keterlibatannya adalah dalam kalangan penganutnya sendiri. Konsep undang-undang iaitu "paramountcy of public interest" juga boleh diketenghkan di dalam isu ini di mana hak asasi/kebebasan individu (untuk melanggar batasan agama, budaya dan adat resam iaitu mengamalkan LGBT) tidak boleh mengatasi hak asasi awam (yang tidak mahu ahli keluarga, masyarakat dan negara terpengaruh dengan unsur-unsur yang tidak bermoral ini).
Yayasan Ihtimam Malaysia menyokong penuh tindakan JAIPk dalam melaksanakan operasi/program pencegahan ini. Yayasan juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan-rakan kerjasama yang lain dalam meningkatkan usaha melalui pelaksanaan program-program islah dan tarbiah kepada komuniti transgender yang ingin berhijrah. Semoga usaha ini akan melahirkan masyarakat malaysia yang sihat dan terhindar daripada isu-isu sosial.
Sekian,
Pengerusi
Yayasan Ihtimam Malaysia
23 Disember 2023