YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA |   KAMI PRIHATIN

No images found.

SUASANA ruang legar Grand Ballroom, Grand Hyatt Kuala Lumpur pada malam tanggal 3 April lalu umpama majlis anugerah bintang popular memandangkan ramai hadirin bergaya sakan untuk tampil anggun bagi menjayakan majlis Makan Malam Amal Tahajjud Cinta.

Diwarnai dengan pelbagai rona pakaian ceria, Malam Amal Tahajjud Cinta dianjurkan secara eksklusif oleh Fareeda dan Yayasan Aids Malaysia.

Ia diadakan bagi meraih dana untuk Yayasan Aids Malaysia serta sebuah lagi pertubuhan kebajikan, Yayasan Ihtimam Malaysia.

Ramai yang hadir memberikan sokongan pada majlis tersebut termasuk beberapa selebriti tanah air seperti Lisdawati, Wan Sharmila dan Riz Amin.

Menurut Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta, Yazlan Yahya, kehadiran tetamu pada malam tersebut membawa pengertian yang amat besar kepada usaha meringankan beban orang yang hidup dengan HIV di negara ini.

“Dana yang terkumpul akan digunakan sebaiknya bagi memberikan kesempatan kepada mereka yang hidup dengan HIV menikmati kehidupan yang normal, berkeluarga dan membina kerjaya sekali gus menyumbang kepada masyarakat.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa stigma serta diskriminasi berkaitan AIDS dan HIV tiada tempat dalam masyarakat kita,” katanya.