YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA |   KAMI PRIHATIN

No images found.

PROGRAM JELAJAH KOMUNITI 2013
FELDA TELOI KANAN, KUALA KETIL KEDAH DARULAMAN
7- 9 MAC 2013
ANJURAN YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA DAN FELDA

Program Jelajah Komuniti merupakan kesinambungan daripada program Jelajah Best yang diadakan di Gurun, Kedah pada tahun 2012. Pendekatan Jelajah Komuniti ini adalah lebih khusus kepada komuniti Felda dengan tema baru iaitu ”Bersama Komuniti Felda”. Objektif Jelajah Komuniti ini adalah bertujuan untuk mendekatkan diri dengan komuniti FELDA disamping memberi pendidikan kepada komuniti FELDA tentang isu sosial yang wujud di kalangan umat Islam sekarang ini.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan Ihtimam Malaysia dan FELDA dan mendapat sokongan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan dan NGO seperti PEMADAM dan lain-lain yang berkaitan.

Program 3 hari ini telah disusun dengan begitu rapi dan meliputi pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak pra sekolah sehinggalah kepada warga dewasa Felda Teloi Kanan. Pelbagai aktiviti telah diatur seperti Program Tahaju'ah, Smart Solat, Sukaneka, Bengkel Seminar Anggun, Bengkel Keluarga Cemerlang, Pertandingan Futsal, Gotong Royong dan Kenduri Rakyat dan bermacam-macam lagi. Selain daripada itu,dengan kerjasama daripada RTM, pelbagai program telah disiar secara langsung daripada venue dan dirakamkan seperti program Fikrah, Ta’lim dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

Majis Perasmian Penutup telah disempurnakan YB. Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis Penutup telah diserikan dengan Malam Kesenian Islam yang mendendangkan budaya dan adat masyarakat Islam di Kedah seperti Qasidah, Burdah dan Dikir Berendoi.

Program Jelajah Komuniti 2013 di Felda Teloi Kanan telah mendapat sambutan yang sangat hangat daripada komuniti setempat dan berhampiran. Pihak penganjur mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan Jelajah Komuniti 2013 di Felda Teloi Kanan ini.